Pengenalan
Ada beratus-ratus “rumus” pengucapan awam di luar sana. Kebanyakannya terdiri daripada beberapa prinsip dan nasihat am, dan cuma beberapa kaedah sahaja untuk membimbing seseorang pemidato. Walau bagaimanapun, apa yang tidak dilakukan oleh “rumus-rumus” itu adalah memberitahu anda apa sebenarnya yang perlu dilakukan, untuk setiap langkah. Maksud saya, kebanyakan kaedah yang diajar dalam rumusrumus tersebut tidak cukup khusus. Ia menjadi masalah terutamanya bagi mereka yang baru hendak bermula, yang memerlukan panduan selangkah demi selangkah.
Rumus 8 x 3 membahagikan penguasaan pengucapan awam kepada 24 kaedah yang boleh dipelajari dan diterapkan oleh sesiapa sahaja. Kaedah-kaedah ini dibahagikan kepada tiga tahap dengan lapan kaedah setiap tahap. Kaedah-kaedah dalam Tahap 1 adalah sangat khusus; ia adalah asas kepada yang asas. Kaedah-kaedah dalam Tahap 2 juga sangat khusus tetapi boleh digunakan dengan mudah. Dalam Tahap 3, beberapa kaedah adalah berbentuk kategori yang lebih am dan melibatkan lebih banyak arahan bagi setiap satu. Saya telah membuat setiap arahan sekhusus yang boleh.
Rumus 8 x 3 terdiri daripada tiga tahap yang berbeza. Ia menunjukkan kepada anda kaedah yang mana satu perlu dikuasai terlebih dahulu sambil anda menelusuri laluan pembelajaran yang optimum. Tidak semua kaedah sama penting. Anda harus terlebih dahulu menguasai Tahap 1 untuk memperoleh kemahiran asas dalam pengucapan awam. Luangkan masa untuk meraikan pencapaian tersebut. Kemudian barulah naik ke Tahap 2 dan seterusnya Tahap 3 mengikut keupayaan anda. Setakat ini tiada rumus pengucapan awam lain (yang saya tahu) menggariskan tahap-tahap tersebut dengan jelas sekali.
Saya amat mengesyorkan anda menggunakan Rumus 8 x 3 untuk Pengucapan Awam™. Saya berjanji anda akan menjadi seorang pemidato yang cemerlang dengan syarat anda kena berusaha. Buku ini diberikan tajuk Anda Bisa Berbicara. Dengan Rumus 8 x 3, pengucapan awam bukan lagi sekadar satu SENI tetapi sudah hampir menjadi satu SAINS. Dalam sains, jika kita tahu bahan-bahan yang kita masukkan ke dalam sesuatu, kita boleh meramalkan hasilnya dengan tepat. Jika anda ikut langkahlangkah dalam rumus ini, anda pasti boleh mendapatkan hasilnya. Anda pasti bisa berbicara. Semoga anda berjaya dalam penguasaan pengucapan awam anda.
Sandy Tan